Saturday, February 25, 2012

Kembara Pulang

Kembali menatap ruang blog ini setelah sekian lama dibiarkan berdebu tanpa titipan kekunci, ingin rasanya dicoretkan bingkisan kisah kembara pulang ke tanahair, kerana ada satu dua kisah menarik yang ingin dikongsi untuk manfaat bersama.

Misi pulang ke tanahair mungkin menjadi antara memori menarik buat kami ditambah pula dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga, membuatkan masa-masa yang dilalui bersama dirasakan begitu berharga. Tugas untuk mengosongkan teratak kecil 2/9 Burns Street, tampak agak mudah, namun disitulah terletak seribu satu benda ,kenangan pahit manis, suka duka, yang harus ditinggalkan. Daripada katil, meja pelajaran, periuk nasi sehinggalah kereta pertama Mazda 626, berjaya dijual sebagai sedikit bekalan bagi memulakan kehidupan baru di bumi Malaysia.Segala puji hanyalah padaNya, walaupun berdepan dengan sedikit kesulitan,segalanya berjalan dengan baik dan rapi bagai dirancang.

Setelah kunci diserahkan, bermulalah musafir kami. Dengan bantuan serta pelawaan ikhlas daripada keluarga Abg Iwan, kami sempat untuk bermalam selama dua hari, dan mengambil kesempatan itu untuk menghabiskan urusan-urusan yang masih berbaki. Tepat jam 4.30 petang tanggal 22 Februari, deruman empat-lima motokar mengharungi Midland Highway menuju ke lapangan terbang Launceston. Terharu dan berterima kasih kerana  ramai  teman-teman yang sudi menghantar kepulangan kami ke Malaysia.

Debaran kencang dalam diri, bukan kerana sedih meninggalkan Launceston, bukan juga kerana gembira pulang ke tanahair, tapi kerana haru memikirkan beg-beg yang banyak, bimbang terlebih timbangan dan dikenakan denda dalam penerbangan Airasia malam nanti. Tujuh beg dimasukkan ke perut kapal terbang,tidak termasuk stoller dan kerusi bayi Nu'man. Enam beg lagi terpaksa dikelek masuk bersama kami. Wah, satu pengalaman yang sangat menakjubkan. Kami ditegur pramugari dalam penerbangan Jetstar kerana membawa lebihan hand-luggage. Tapi teguran itu tidak kami endahkan dan berlalu terus ke kerusi tertera nombor 24,jauh nun hujung ke belakang. Alangkah baiknya kalau kami masuk menerusi pintu belakang. Tidaklah perlu berjalan begitu jauh berselisih rapat dengan mat-mat salih. Dengan beg sebegitu banyak, penerbangan yang langsung penuh, ruang kompak atas yang hampir tiada ruang, memaksa satu beg ditinggalkan ditengah perjalanan menuju ke kerusi tempat duduk kami. Ah..tak mengapa, selepas selesaikan Nu'man, aku kembali mendapatkan beg tadi...Nah,berpeluh habis.

Kembara musafir kami didahului doa, memohon kepada Allah agar segala urusan perjalanan berjalan dengan baik dan dipermudahkan. Namun hati tetap gusar walau strategi diatur untuk melepaskan sejumlah 6 beg ke atas penerbangan D7213. Dalam penerbangan, ligatnya otak berfikir, lantas aku bersuara kepada sang isteri yang turut resah. " Nanti bila dah sampai, kita carilah siapa-siapa orang Malaysia kalau-kalau boleh ambikkan beg hand luggage kita ni...". Lontaran kata itu bersambut tandatanya dalam benak sendiri, apakah sempat dengan masa yang ada...

Nu'man tetap tenang,bagai tiada apa berlaku, senyum tetap diukir tanpa sedikitpun gusar dengan apa yang umi dan abinya fikirkan. Setelah mendarat di Melbourne, fikiran makin rungsing.  Apakah sempat untuk mencari kaunter takut-takut boleh ditambah timbangan kilo. Beg-beg pun belum habis keluar. Kemana pula lepas ni? Tiba-tiba satu suara menegur, " Assalamualaikum, balik Malaysia?" Salam disambut dengan raut yang sedikit terkejut, tangan perlahan di hulur, bicara ditutur rapi.  Selepas berbicara serta taaruf ringkas, pemuda tadi bersetuju menambah berat timbangan untuk 20kg lagi serta tidak lokek membantu kami sehingga selamat sampai ke kerusi tertera nombor 25 penerbangan D7213 walaupun agak keletihan. Rautnya tenang, tak sedikitpun menampakkan kegusaran dan resahnya membantu kami. Ikhlasnya jelas. Alhamdulillah, ada insan budiman yang sudi membantu. Moga Allah permudahkan segala urusanya kelak.Amin!

Tepat jam 6.15 waktu tempatan, roda pesawat Airbus Airasia mengerisek kuat landasan LCCT. Bahang 25C subuh itu sedikit terasa.Mungkin sudah lama terbiasa dengan hawa sejuk bumi kangaru. Ah, tak mengapa, selang dua tiga hari nanti, biasalah.Bak kata orang, hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Aku dan keluarga kini di Malaysia, tanah tumpah tercinta setelah dua tahun jauh berkelana di negeri orang. Banyak pengalaman suka duka yang ditempuh di negeri orang membuatkan diri lebih matang,dewasa dan lebih rasional dalam mengharungi kehidupan mendatang. Pelbagai ragam manusia dikenali digunakan sebaiknya merefleksi diri. Rencah-rencah inilah yang dikatakan pengalaman yang terkandung didalamnya ilmu kehidupan yang banyak manfaatnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...