Thursday, October 20, 2011

Translate perkataan dengan lebih mudah di Internet!

Salam sahabat2...malam ni saje nak share tips  dan hilangkan sedikit kepenatan selepas menghantar final draft untuk final projek petang tadi. So malam ni, just nak share satu perkara baru yang baru jumpa (bagi saya la), mungkin ada manfaat bagi sahabat-sahabat lain belum tahu....Sedang saya membaca satu artikel bahasa Inggeris di internet tadi, alkisah memang banyaklah perkataan english yang tak tahu maksudnya menyebabkan banyak maksud ayat tak sampai dengan baik.Almaklumlah....orang melayu la katakan....


"Nak bukak google translate dan copy paste, bukak tutup 
tab lain memang satu perkara yang agak rumit dan LECEH...
betul tak?"




Logo
For Google Chrome User : click n install this extension now!

Dalam merungkai isu ini,  satu berita baik bagi pengguna chrome, Right click and Translate adalah jawapannya... tak perlu lagi bukak n tutup tab,copy n paste sana sini. Just tekan  CTRL + select perkataan mana yang tak faham, paparan maksud dalam bahasa yang kita kehendaki akan terus keluar di screen yang sama.....menarik? Lihat screenshoot nih...



Ianya masih menggunakan khidmat google translate, tapi dalam bentuk yang lebih mudah,ringkas dan efisyen.....Kalau menarik, share tips ni dengan rakan-rakan anda yang lain,mudahan memberi manfaat yang besar dalam memahami ilmu Allah yang sangat luas ini....


Wednesday, October 5, 2011

Nu'man Waidz, permata hati Abi & Ummi

Tanggal 19th September 2011 bersamaan 20 Syawal 1432, di Launceston General Hospital, Tasmania, Australia...seorang lagi ummat Baginda lahir ke dunia. Syukur setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah atas kurniaan rezeki, satu anugerah yang besar untuk kami. Pastinya hadirnyanya kedunia ini sebagai pengikat kasih sayang dan bersama satu lagi tanggungjawab kepada ku dan isteri, untuk terus mencorakkannya dengan sebaik mungkin mengikut acuan al-quran dan acuan yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi s.a.w. Hari ini umurnya genap 16 hari...Dia ialah Nu'man Waidz....Abi & Ummi ucapkan selamat datang,kami sayang Nu'man....

Kembali kepadaMu





Terpanggilku ke sini suatu tika
Kutiba di kota bersama cita-cita
Lantas hati terpaut pada maya pesona
Percaya segalanya indah sempurna

Masa berlalu menduga kesetiaan
Kealpaan diri menuju kehancuran

Daku yang lena lemah terdaya
Sering terlupa jua terpedaya
Pada segala dusta yang fana
Hanyut dibuai mimpi dunia

Daku yang angkuh dan kian terleka
Menghitung waktu menuruti rasa
Tanpa CintaMu daku gelisah
Terus menjauh tiada arah

Inginku kembali padaMu oh Kekasih
Tak ingin kutempuh hidup sebegini
Resah keliru mengaburi mata hatiku
Tiada ketenangan ku rasakan di jiwa ini

Tanpa cahayaMu aku terus terjatuh
Kurayu redhaMu
Sambutlah tanganku

Daku yang lena lemah terdaya
Sering terlupa jua terpedaya
Pada segala dusta yang fana
Hanyut dibuai mimpi dunia

Daku yang angkuh dan kian terleka
Menghitung waktu menuruti rasa
Tanpa CintaMu daku gelisah
Terus menjauh tiada arah

Kekasih kupohon kemaafanMu
Kekasih kudamba keampunanMu

Sunday, October 2, 2011

PAS dan Jemaah Tabligh






Salam rakan2 seperjuangan....mudah je tajuk hari ni PAS dan jemaah Tabligh...PAS kate dia betul,tabligh kate dia betul, Tabligh kate ikut cara nabi, PAS pun kata ikut cara nabi, padahal dua-dua ikut cara nabi...…sape yg betul sebenarnya? Wahai saudara umat islam sekalian, mengapa kite nak berbalah kate itu salah ini betul…? jemaah ni yg terbaik,jemaah tu yg terbaik, jemaah ni tak elok, jemaah tu elok… itulah kelemahan kita khususnya umat islam,PAS & Tabligh adalah gerakan islam yg menyeru kepada perkara yg sama…kepada agama Allah, cumanya dalam cara yg berbeza.( satu naik motor, satu naik bas, tapi dua-dua nak pergi KL).. 


Sekarang ni, terdapat beberapa cara orientasi dakwah dalam usaha kita semua utk meningkatkan kesedaran dan penghayatan kepada agama.Ada yg berorientasikan haraki (gerakan), ada yg berorientasikan siasi(politik), ada yg tablighi, dan ada yg berorientasikan sufi...terpulanglah mana pun asal tak lari dari akidah Islam,semuanya betul-betul blaka.


Melihat kepada masyarakat kini khususnya di Malaysia mempunyai pelbagai keresahan, dari masalah peribadi,keluarga,penceraian,hukum hakam  agama, masalah orang tua orang muda,budak sekolah, orang pejabat, orang kaya,orang miskin, keruntuhan akhlak - sosial, jenayah,juvana, ekonomi dan beribu-ribu kebejatan masalah harian memaksa kita untuk tidak hanya mempunyai dan bergantung dengan satu metodologi dakwah sahaja, tetapi lebih dari itu. (Ada orang belajar ilmu syariah di Al-Azhar, ada juga yg belajar di UIA dan UM, dan tak kurang yg menuntut di pondok-pondok tok guru,mengaji kitab kuning. Maqasidnya atau matlamat menuntut ilmunya adalah sama dan tak boleh pula mengatakan UIA adalah yg paling baik sbb kite belajar di UIA...~ apa kata orang UM dan Azhar?)


PAS dan tabligh tak terlepas dari kelemahan-kelemahan dan tidak jgk dinafikan mempunyai kelebihan masing2…PAS mengambil pendekatan politik dan dakwah 'ammah manakala jemaah tabligh tidak berorientasikan siasi dan melalui pendekatan dakwah fardhiah. Sebenenarnya, sbgian mukmin haruslah menjadi pelengkap kepada sbgian mukmin yg lain, bukannya kondem menkondem ,tak kira la dari PAS atau jemaah tabligh. Ada perkara yg PAS tak mampu buat, tp dibuat oleh jemaah tabligh...misalnya dakwah terus menerus, dari pintu ke pintu, dari bandar hingga ke ceruk pendalaman,dalam dan luar negara,dari hari ke tahun....ada yg jemaah tabligh tak mampu buat atau diluar bidang mereka, tp mampu dibuat oleh PAS misalnya memerintah negeri, gubal dan laksana islam di negeri yg ditadbir....kan elok tu...saling bantu n lengkap melengkapi... Dakwah bukan hanya dibuat oleh jemaah tabligh sahaja,dan bukan PAS sahaja...dan benar hidayah adalah hak mutlak Allah s.wt...Makanya Allah berhak memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yg buat usaha dakwah...samada PAS,tabligh,JIM,UMNO hatta MCA dan DAP sekalipun...takda siapa yg dpt halang...


Dakwah maknyanya luas...dakwah ada manhajnya, dan ada uslubnya, ada waqi’nya…tak perlula mana2 pihak samada PAS atau tabligh atau mana2 jemaah nak mendabik dada mengatakan jemaah dan usaha yg dilakukan adalah yg terbaik atau paling baik, itu hanyalah mengundang takabbur,ujub dan riak dan akan merosakkan amalan  yg dah dibina. Islam suruh buat dakwah….tp xde kate mesti atau wajib kene keluar 3 hari,40 hari dan sebagainya…ia adalah disiplin yg ulama ttpkan dalam gerak kerja dakwah…disiplin n istiqamah penting dalam dakwah.begitu jgk PAS jgk, ada tamrin, ada usrah,ada halaqah n sebagainya. Masing-masing ada cara n jalan yg sendiri yang mana telah digariskan oleh ulama dan bijakpandai agama....dan apa yg pastinya itu semua nabi suruh blake.. Ia hanya perkara khilaf dan bukannya akidah...pilihlah mana-mana yang kita rasa selesa untuk bekerja...(ada yg selesa bekerja dgn kerajaan ada pula yg suka kerja sendiri...ada juga yg kerja dengan kerajaan, tp buat bisnes sendiri2....nak yg mana? buleh belaka....)


Islam suruh buat dakwah, tp xde pulak kate mesti atau wajib dalam cara politik, dan tak de pulak larang berpolitik.Selagi mana ada jalan yg baik utk sampaikan dakwah, maka itu ia menjadi satu pilihan yg baik.. Islam tu luas wahai rakan2…uslub dan cara dakwahnya dinamik dan versatile, dakwah bil-hal (perbuatan),dakwah bil-lisan (dengan lidah) dan dakwah bit-tadwin (penulisan)...semuanya jalan dakwah yg terbaik....anda pandai menulis, anda tulis kitab dan sebagainya, anda pandai mengajar,anda mengajar, anda berani tegur mungkar terang2 , anda boleh berperanan sedemikian..anda boleh bagi ceramah n boleh tarik ribuan masyarakat awam utk dengar peringatan agama mcm ustaz azhar buat, anda buat la cara tu……anda pandai berfacebook, atau blog,atau website...maka itu jg satu jalan n cara yg baik, mcm iluvislam.com dan byk lagi, itu jg jln dakwah...tp, jgnlah kata usaha anda itu yg terbaik..mudah je kan..tak yah berbaloh2…Cukuplah kita semua, berlapang dada lah dalam perkara ini, semua islam semua muslim, dakwah ajak kebaikan, larang buat mungkar semuanya kerana Allah….kalau kita selesa dengan PAS, kita ikut n bekerjalah cara PAS...kita selesa dengan jemaah tabligh...kita teruskan usaha kita, jgn burukkan diri sendiri dengan mengata dan memandang kecil usaha jemaah lain. 


Contoh yg sangat mudah, di sekolah untuk menegur,menasihati atau menyampaikan ilmu, ada pengawas  yg membuat pilihan utk terus berjumpa dengan pelajar, cakap face to face. Ada pengawas yg melaporkan, atau memberi tahu kepada pentadbiran sekolah utk mebuat risalah,program dan sebagainya....kedua-dua cara ini berkesan belaka...dua-dua cara ade lebih ade kekurangan masing-masing...


Kalau kita ada keluarga, kita jaga nama baik keluarga kita dan dalam masa yg sama tak boleh memburukkan keluarga orang lain...senang je kan..Masing-masing ada peranan masing-masing,ada kelemahan dan kelebihan masing-masing yg mesti kita terima dengan hati yg terbuka....wallahua’lam sekadar pendapat dan cetusan dari seorang yg kurang ilmu .... :) 


(Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis berdasarkan situasi ,pengalaman yang dialami, pembacaan dan perbicangan bersama rakan-rakan, segala kelemahan mohon maaf dan harap diperbetulkan dan tiada apa-apa niat memburuk atau merendah-rendahkan mana-mana pihak. Sekadar cetusan dan harapan untuk melihat suasana jemaah-jemaah Islam yang baik terus subur dan mekar di Malaysia, Amin!)

Monday, August 29, 2011

Eid al-Fitr ditunjuk oleh hadis, bukannya artis



Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, penduduknya meraikan satu perayaan. Nabi SAW bertanya tentang perayaan itu dan diberitahu ia adalah perayaan yang diwarisi dari nenek moyang. Nabi SAW menyebut bahawa Allah telah menukarkan perayaan itu dengan 2 perayaan lain iaitu Eid al-Fitr dan Eid al-Adha.
Dengan itu kita fahami bahawa perayaan Eid al-Fitr dan Eid al-Adha ini bukan rekaan Nabi sendiri, bukan rekaan 1Malaysia dan bukan rekaan sesiapa melainkan ia diberi oleh Allah kepada Muhammad SAW dan umatnya. Justru, cara sambutannya mestilah berdasarkan petunjuk Quran dan hadis, bukannya yang diada-adakan oleh media terutama TV dan para artis.
Kuliah (audio) berkaitan: 1eid 16 sep 09 2eid 16 sep 09
Sebulan Ramadhan kita diajar untuk taatkan Allah. Adakah tiba-tiba pada 1 Shawal terus sahaja derhakakan Allah kononnnya di atas nama kegembiraan dan keluasan Islam pada hari raya?
Benar. Ada hadis yang menyebut tentang jariah (hamba perempuan kecil atau anak perempuan kecil) yang mengalunkan suaranya pada hari raya. Imam Nawawi meletakkan hadis itu di bawah tajuk: Bab arrukhsah fi alla’b allazi la ma’siata fih fi ayyam al-eid (keringanan dalam permainan yg tiada maksiat di hari perayaan) (j6 ms 423). Ada huraian ulama tentang hadis ini.
Kesimpulan ringkas yang boleh dibuat ialah bentuk, cara permainan mereka, apa yang disebut jauh bezanya dari apa yang disangka oleh kita dan realiti yang berlaku dalam media kita sekarang yang dipenuhi program-program dosa di atas nama menyambut Eid al-Fitr. Tajuk yang diberi oleh Imam an-Nawawi pun sudah kita fahami bahawa yang dibenarkan ialah yang tiada maksiat. Bebaskah program tv kita dari unsur itu?
Ada beberapa sunnah yang boleh dibuat sempena menyambut Eid al-Fitr itu:
1. Menghidupkan malam hari raya dengan perkara taat. Nabi SAW bersabda, bermaksud: ‘Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya Fitr (iaitu dengan takbir) dan malam hari raya adha, hatinya tidak mati pada hari matinya segala hati.’
2. Sunat mandi pada pagi hari raya kepada semua orang, tak kira lelaki perempuan, uzur atau tidak, pergi solat hari raya atau tidak.
3. memakai minyak wangi (lelaki), bersugi.
4. Memakai pakaian paling baik dan cantik.
5. Makan sedikit pada pagi Eid al-Fitr sebelum keluar solat untuk membezakan di antara 1 Syawal dan akhir Ramadhan.
6. menuju ke tempat solat dengan tenang, pada awal pagi, melalui satu jalan dan pulang melalui jalan lain.
7. Mengucapkan tahniah sempena Eid ‘Taqabballlahu minna wa minka‘ (Moga Allah menerima amalan kami dan kamu)
8. Solat Eid.
Tentang ziarah kubur di pagi raya, ulama berselisih pendapat. Ada yang mengatakan harus dan ada yang mengatakan makruh. Untuk keluar dari khilaf ulama, apa salahnya menziarahi kubur sebelum 1 Shawal. Yang penting adab terutamanya aurat wanita dijaga.
Begitu juga adab bertamu dan menerima tetamu mesti dijaga. Jangan menganggap semuanya ’sedara’-mak sedara, pak sedara, awek sedara-lalu disambut semua tangan yang dihulur.
Moga Eid al-Fitr  yang disambut menjadi ibadah bagi seorang mukmin yang diajar untuk taatkan Tuhannya sepanjang Ramadhan, bukannya menjadi medan awal untuk kembali berdosa dengan Tuhannya.

Thursday, August 25, 2011

Wacana Perdana Sinar Harian : Ulamak Politik,Untuk Dakwah Atau Politik

Wacana Perdana Sinar Harian Bertajuk Ulamak Politik,Untuk Dakwah Atau Politik.Wacana Ini Telah Diadakan Di Kompleks Karangkraft.Moderator Adalah Professor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Bekas Mufti Perlis).3 Panel Yang Hadir Adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang) Tan Sri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria (Mufti Perak) Dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya (Ulama Muda UMNO).








Wednesday, August 24, 2011

Tingkat-tingkat Warak

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' 'Ulumiddin pada bab Ilmu Pengetahuan, warak terdiri daripada 4 tingkat:

1. Warak orang Adil :  Tidak melakukan perkara yang jelas haramnya. Tidak buat dosa besar dan tidak mengekali dosa kecil.

2. Warak orang Soleh : Menjaga diri dari melakukan perkara yang meragukan (syubhat). 

3. Warak orang Muttaqin : Tidak juga melakukan perkara yang halal tetapi dikhuatiri terbawa kepada yang haram.

4. Warak orang Siddiqin : Berpaling (meninggalkan) selain kepada Allah Taala. Kerana takut terpakai meskipun sesaat umur kepada yang tidak mendatangkan faedah, sekalipun perkara itu tidak akan membawa kepada yang haram.

Mudahan dapat tingkatkan diri,amal dan sampaikan....

Mengapa Aktivis Agama Berbeza Sehingga Hampir Berpecah ?


Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
(Tulisan ini mungkin hanya sesuai dibaca oleh orang kebanyakan jika terdapat bimbingan ilmuan agama disebabkan beberapa contoh isu teknikal yang dibawakan)


Sebelum ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel‘Inginkah  Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’ yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.
Tidak dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat, jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.
Demikian doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.
Saya masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.
Sedihnya, jumlah mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?
Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.
Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya  SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi untuk bersangka baik terhadap pihak lain.  Asyik tidak yakin dengan kemampuan pihak lain.  Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah niat  'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?
Bagaimanakah boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.
Ketidaksatuan ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka sendiri.
CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK
Saya ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-

GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah.

SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?

JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.

AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.

PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.

SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-

Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isuqat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.
Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.
Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.

Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan dengannya.

Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir kepada Rasulullah saw.

Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.

Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan membawa mereka ke neraka.

GELARAN WAHHABI
SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?
JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.
AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.
PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagaimujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.
Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)
Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru apabila Allah mengatakannya
“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)
Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangannamun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.
Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.
Begitulah satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.
Memang benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar, kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan pandangannya mewakili aliran Wahabi.
SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR
Jika kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:
  • Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
  • Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
  • Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
  • Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
  • Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
  • Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
  • Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
  • Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.
Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :
ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة
Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :
أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها
Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)
Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)
Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’  dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij, muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa kepada menyesat dan mengkafirkan.
Sedang dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor, terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.
Malah label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalampackage mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang ‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah, membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya ke dalam label ‘wahabi’.
Tindakan itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.
'PACKAGE'  SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN
Sama juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad, Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)
Adakah mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?
Sedangkan mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.
Justeru, adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan (padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir), boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain tuduhan tidak bertanggungjawab.
Nabi s.a.w bersabda :
سباب المسلم فسوق قتاله كفر
Ertinya : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)
Biasanya, tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali. Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.
Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.
Malanglah kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.
TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN
Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa sendiri, merujuk ayat dan hadis  secara sendirian, lalu semakin mudahlah dia tersesat jalan.
Lihat bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :
لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم
Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)
Demikian juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat, Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya, baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau mencelanya, baginda bersabda
إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن
Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim)
KESIMPULAN
Sebenarnya banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran. Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak saya dari kalangan mereka.
Atau dalam bahasa mudahnya:
“Pendokong Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”
Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..
Sebab itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.
Lebih menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini, ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh menghampirkan diri kepada Allah?
Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak sependapat dengannya (jika berlaku).
Seringkali saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh Allah dan rasulNya iaitu  sangka buruk, mengadu domba, merendah dan memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.
Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?
Saya akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih positif.
Saya memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...